fb fb fb fb fb

Lapan orang terkorban, serangan Israel di utara Lubnan

Foto AFP

BEIRUT, 12 November- Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan Israel di wilayah Akkar, utara Lubnan.

Serangan itu adalah serangan paling jauh dilancarkan Israel terhadap Lubnan, sejak perang meletus September lalu.

Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan berkata, serangan itu turut menyebabkan 14 yang lain cedera.

Seorang pegawai keselamatan memberitahu AFP bahawa sasaran serangan itu adalah seorang anggota Hizbullah yang merupakan sebahagian daripada keluarga pelarian dari selatan Lubnan yang telah berpindah ke bangunan tersebut.

Terdahulu, media kerajaan Lubnan melaporkan bahawa Israel menyerang sebuah rumah di Ain Yaacoub, sebuah kampung yang majoriti didiami orang Islam Sunni dan Kristian, yang juga kubu Hizbullah.

"Satu serangan musuh menyasarkan sebuah rumah di kampung Ain Yaacoub," kira-kira 150 kilometer (93 batu) dari Israel, kata Agensi Berita Nasional rasmi Lubnan.

Sejak 23 September, Israel telah meningkatkan serangan udara terhadap Hizbullah, yang kebanyakannya menyasarkan kawasan kumpulan itu di timur dan selatan Lubnan serta selatan Beirut, dan jarang sekali di utara.

Sementara itu, pegawai tempatan, Rony al-Hage, memberitahu AFP bahawa orang yang dipindahkan tinggal di rumah dua tingkat itu.

"Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa runtuhan masih diteruskan," kata Hage.

Media sosial turut menyiarkan video siaran langsung yang menunjukkan rumah yang musnah dan orang ramai mengeluarkan mangsa runtuhan serta menggunakan telefon sebagai lampu suluh.

Sebelum ini, serangan Israel di bandar Saksakiyeh di selatan telah membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang. Selain itu, 23 orang terkorban, termasuk tujuh kanak-kanak, di Almat, utara Beirut pada Ahad lalu.

Lebih daripada 3,000 orang terbunuh di Lubnan sejak konflik Israel-Lubnan semakin memuncak di sempadan tahun lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN