fb fb fb fb fb

Pemimpin Arab-Islam gesa Israel berundur dari Palestin, syarat keamanan serantau

Foto AFP

RIYADH, 11 November- Para pemimpin Arab dan Islam menuntut agar Israel berundur dari wilayah Palestin yang diduduki sebagai syarat untuk keamanan serantau, sambil mengecam jenayah perang Israel di Gaza.

Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh memberikan peluang kepada Liga Arab dan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersuara sepakat berkenaan pergolakan di rantau itu, lebih setahun selepas konflik Israel-Hamas di Gaza.

Pernyataan penutup sidang itu, menyebut bahawa keamanan yang adil dan menyeluruh di rantau itu tidak dapat dicapai tanpa penamatan pendudukan Israel di semua wilayah Arab yang diduduki, merujuk kepada Tebing Barat, timur Baitulmaqdis, Gaza, dan Bukit Golan yang diduduki.

Pernyataan tersebut merujuk kepada resolusi PBB yang menggesa Israel untuk berundur dari kawasan itu serta Inisiatif Keamanan Arab 2002, di mana negara-negara Arab menawarkan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai pertukaran untuk penyelesaian dua negara dengan Palestin.

"Masyarakat antarabangsa seharusnya melaksanakan pelan dengan langkah dan waktu yang spesifik di bawah naungan antarabangsa untuk merealisasikan negara Palestin yang berdaulat", menurut pernyataan tersebut.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang angkuh menentang keras penubuhan negara Palestin, seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar Israel yang baru dilantik, Gideon Saar, dengan menyatakan bahawa idea tersebut tidak "realistik."

Pernyataan sidang di Riyadh itu, mengulangi gesaan pemimpin serantau untuk wilayah Palestin termasuk Gaza yang dipisahkan dari Tebing Barat oleh wilayah Israel, digabungkan menjadi sebuah negara pada masa depan.

Para pemimpin turut mengecam jenayah yang mengerikan dan mengejutkan oleh tentera Israel di Gaza, serta menyifatkan ia jenayah genosid.

Menurut data Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, lebih 43,600 orang di Gaza terkorban, majoritinya adalah orang awam sejak konflik Israel-Hamas tahun lalu.

Sementara itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bertitah agar gencatan senjata segera di Gaza dan Lubnan, semasa menyampaikan ucapan di sidang kemuncak tersebut.

"Dunia mesti segera menghentikan tindakan Israel terhadap saudara-saudara kita di Palestin dan Lubnan," titah Baginda sambil mengecam kempen ketenteraan Israel di Gaza sebagai "genosid."

Baginda juga menyeru Israel agar tidak menyerang Iran, dengan menekankan hubungan yang semakin baik antara Riyadh dan pesaing serantaunya, Tehran.

Dalam persidangan sama, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati dalam ucapannya, turut memberi amaran bahawa negaranya menghadapi krisis dan mengkritik negara-negara yang campur tangan dalam hal ehwal dalaman Lubnan, satu sindiran terhadap Iran.

"Negara-negara seharusnya berhenti menyokong kumpulan tertentu, sebaliknya menyokong Lubnan sebagai sebuah negara," kata Mikati.

Kementerian Luar Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk sidang kemuncak pada akhir Oktober, dalam satu pertemuan di Riyadh bagi membentuk "perikatan antarabangsa" baharu untuk memperjuangkan penubuhan negara Palestin.-AFP

ROSLINA BINTI DIN