fb fb fb fb fb

Trump label Datuk Bandar New York baharu ‘Komunis’

FOTO REUTERS

MIAMI, 6 November - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melabel Datuk Bandar New York yang baharu dilantik, Zohran Mamdani, sebagai seorang “Komunis” ketika berucap pada forum perniagaan di Miami, Florida, pada Rabu.

Trump, yang menjadi tumpuan pada America Business Forum, menyampaikan ucapan panjang lebar sebelum memberi amaran berhubung kepimpinan Mamdani.

“Lihatlah apa yang akan berlaku di New York. Teruk. Perkara sama akan berlaku nanti. Saya harap tidak, tetapi anda akan lihat sendiri.

“Ingat dulu saya pernah kata ‘Kita takkan ada seorang sosialis dipilih ke mana-mana jawatan di negara ini.’ Tapi nampaknya, kita terus lompat dari sosialis ke komunis. Dan hasilnya… tak begitu baik. Seperti yang saya dah lama beri amaran, pihak lawan kita beria-ia mahu mengubah Amerika menjadi seperti Cuba yang komunis atau Venezuela yang sosialis. Anda sendiri nampak apa jadi dengan negara-negara itu,” katanya lagi.

Zohran Mamdani, 34 tahun, seorang ahli parlimen negeri yang baru mencipta nama, menewaskan bekas Gabenor Demokrat New York, Andrew Cuomo, yang bertanding sebagai calon bebas.

Pilihan raya itu memperlihatkan pertembungan ideologi antara pendekatan progresif Mamdani dan pandangan lebih konservatif Cuomo, 67 tahun, yang cuba menonjolkan kelayakannya berbanding pengaruh baharu lawannya itu.

Kedua-dua calon membawa ‘beban politik’ masing-masing yang menyaksikan Mamdani dikritik kerana pandangan sosialis demokratiknya serta kenyataan lampau mengenai Israel dan Jabatan Polis New York, manakala Cuomo masih dibayangi isu peletakan jawatannya pada 2021 susulan tuduhan gangguan seksual.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE