fb fb fb fb fb

Trump isytihar konflik bersenjata dengan kartel dadah

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/Foto AFP

WASHINGTON, 3 Oktober- Presiden Donald Trump mengisytiharkan Amerika Syarikat (AS) kini terlibat dalam konflik bersenjata dengan kartel dadah, susulan serangan di perairan berhampiran Venezuela yang meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa.

Pentadbiran Trump mengklasifikasikan kartel sebagai kumpulan pengganas dan menegaskan serangan itu selaras dengan undang-undang konflik bersenjata.

Washington turut mengerahkan kapal perang, kapal selam nuklear serta pesawat pejuang F-35 ke Caribbean dalam operasi membanteras penyeludupan dadah.

Bagaimanapun, Venezuela mendakwa lima jet pejuang AS dikesan terbang 75 kilometer dari pesisir pantainya, yang disifatkan Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino sebagai provokasi dan ancaman keselamatan negara.

Ketegangan meningkat selepas insiden pesawat tentera Venezuela didakwa mengganggu kapal tentera laut AS bulan lalu, sekali gus mendorong Trump memberi amaran pesawat Caracas akan ditembak jatuh sekiranya berulang.

Presiden Nicolas Maduro menuduh Washington berusaha menjatuhkan pemerintahannya melalui cara tersembunyi. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM