GENEVA, 3 Oktober -Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengesahkan seorang lagi petugas mereka terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.
Ia menjadikan angka korban dalam kalangan pekerja badan itu meningkat kepada 14 orang sejak genosid bermula.
MSF menerusi kenyataan memaklumkan, serangan itu turut mencederakan empat yang lain, termasuk seorang dalam keadaan parah akibat terkena serpihan.
“Serangan berlaku di sebuah jalan ketika pasukan kami sedang menunggu bas untuk ke hospital lapangan MSF di Deir el-Balah.
Semua kakitangan memakai vest MSF yang jelas menandakan mereka sebagai petugas kemanusiaan perubatan,” kata kenyataan itu.
Mangsa terbaharu dikenali sebagai Omar Hayek, 42 tahun, seorang ahli terapi.
MSF menyifatkan beliau sebagai seorang yang tenang dan berdedikasi membantu ribuan pesakit memulihkan kekuatan serta maruah mereka.
Kurang dua minggu lalu, seorang petugas MSF, Hussein Alnajjar, turut terbunuh dalam serangan di lokasi sama.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi sebelum ini mengecam kadar korban tinggi dalam kalangan petugas kemanusiaan di Gaza yang berlaku ketika Israel meneruskan serangan ke atas penduduk Palestin. -AFP