BRASILIA, 3 Oktober- Penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Brazil dan Rio de Janeiro pada Khamis menuntut pembebasan aktivis negara itu yang ditahan Israel selepas flotila kemanusiaan mereka ke Gaza dipintas tentera laut Yahudi tersebut.
Di Brasilia, kumpulan demonstrasi berkumpul di hadapan Istana Itamaraty sambil mendesak kerajaan pimpinan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva mengambil tindakan lebih tegas termasuk mengenakan sekatan terhadap Israel.
“Kami mahu mereka dipulangkan dalam keadaan selamat,” kata seorang penuntut sejarah, Maktus Fabiano.
Di Rio, aktivis berarak di pusat bandar sambil mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk bertulis “Tiada neutraliti berdepan genosid”.
Seorang guru, Jaqueline Girao menegaskan flotila itu dipintas di perairan antarabangsa, sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa.
Misi yang dianjurkan gerakan Global Sumud Flotilla (GSF) itu membawa makanan, ubat-ubatan dan bekalan untuk Gaza sebelum ditahan oleh tentera Israel.
Penganjur dan keluarga tahanan menuduh Israel melakukan penculikan antarabangsa.
Protes tersebut tercetus ketika kerajaan Lula berdepan tekanan untuk bertindak lebih keras terhadap Israel susulan penahanan rakyatnya serta konflik berterusan di Gaza. -REUTERS