WASHINGTON, 4 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa Israel menghentikan segera serangan udara di Gaza selepas Hamas menyatakan kesediaan menerima sebahagian syarat dalam pelan damai yang dicadangkannya bagi menamatkan perang di Gaza.
Dalam kenyataan di platform media sosialnya, Truth Social, Trump berkata berdasarkan maklum balas terkini daripada Hamas, kumpulan itu menunjukkan kesediaan ke arah keamanan berkekalan.
“Berdasarkan kenyataan yang baru dikeluarkan oleh Hamas, saya percaya mereka bersedia untuk keamanan yang berkekalan. Israel mesti segera menghentikan pengeboman Gaza agar tebusan dapat dibebaskan dengan selamat dan cepat,” katanya.
Menurut kenyataan yang diperoleh Reuters, Hamas bersetuju dengan beberapa terma dalam pelan 20 perkara yang dikemukakan Trump, termasuk pembebasan tebusan. Namun, kumpulan itu enggan mengulas isu lebih kompleks seperti perlucutan senjata, sebaliknya mahu rundingan lanjut dijalankan.
Trump sebelum ini memberi tempoh kepada Hamas sehingga Ahad untuk menerima atau menolak pelan damai berkenaan.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Amerika Syarikat atau Israel bersedia untuk meneruskan rundingan lanjut mengenai terma pelan tersebut.
Hamas tidak menyatakan persetujuan untuk melucutkan senjata atau membubarkan pasukan bersenjata di Gaza, antara tuntutan utama Israel dan Amerika Syarikat sebelum ini. Kumpulan itu juga menolak cadangan pengunduran berperingkat tentera Israel, sebaliknya menuntut pengunduran penuh dan segera.
Menurut Hamas, mereka bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada badan pentadbiran Palestin yang terdiri daripada tokoh bebas atau teknokrat, berdasarkan konsensus nasional Palestin serta disokong oleh dunia Arab dan Islam.
Terdahulu, Trump memberi amaran bahawa “neraka bakal tercetus” di Gaza sekiranya Hamas gagal menandatangani pelan tersebut.
Selepas mengemukakan pelan itu kepada negara Arab dan Islam minggu lalu, Trump turut menerima sokongan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyifatkan dokumen berkenaan memenuhi matlamat perang Israel.-REUTERS