ST. PETERSBURG, 4 Oktober - Fenomena Aurora Borealis mencipta panorama menakjubkan di langit St. Petersburg apabila dapat disaksikan jelas dari Menara Lakhta Center, bangunan tertinggi di Eropah.
Rakaman cahaya hijau kebiruan itu dimuat naik oleh pihak pentadbiran Lakhta Center pada Rabu, selepas sinaran paling terang berlaku pada 29 dan 30 September lalu.
Lakhta Center, pencakar langit setinggi 462 meter dengan 87 tingkat yang siap dibina pada 2019, kini menjadi lokasi ikonik merakam keindahan fenomena alam semula jadi tersebut.
Aurora Borealis, atau dikenali sebagai Northern Lights, berlaku apabila zarah bercas dari matahari bertembung dengan gas di lapisan atmosfera atas bumi, menghasilkan pancaran cahaya berwarna-warni.
Fenomena ini biasanya dapat dilihat di kawasan latitud tinggi, namun zon penglihatannya boleh meluas ketika aktiviti suria berada pada tahap maksimum.-REUTERS