fb fb fb fb fb

Fontenoy lakar rekod dunia panjat Menara Eiffel guna basikal

FOTO REUTERS

PARIS, 3 Oktober - Pelumba basikal dan sensasi media sosial, Aurelien Fontenoy, mencipta rekod baharu apabila muncul atlet terpantas mendaki ke tingkat dua Menara Eiffel menggunakan basikal lasak.

Menurut kenyataan Societe d'Exploitation de la Tour Eiffel, Fontenoy menawan 686 anak tangga untuk sampai ke platform tingkat dua – kawasan terakhir yang boleh dicapai dengan tangga – dalam tempoh hanya 12 minit 30 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu dengan kelebihan hampir tujuh minit.

Bagi menepati syarat, kakinya tidak dibenarkan mencecah tanah sepanjang kayuhan.

“Saya tidak sangka dapat habiskan dalam masa sesingkat ini. Menara Eiffel benar-benar simbolik, ia monumen yang memang saya impikan untuk ditawan,” katanya selepas berjaya menamatkan cabaran itu.

Rekod tersebut merupakan sebahagian daripada projek peribadinya, The Climb. Sebelum ini, Fontenoy pernah menawan Menara Trinity setinggi 140 meter di Paris pada 2021, dan awal tahun ini berjaya mendaki Menara TV Tallinn setinggi 314 meter di Estonia.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE