fb fb fb fb fb

Salji luar musim landa Balkan, suhu cecah -4°C

FOTO REUTERS

SOFIA, 4 Oktober - Beberapa negara Balkan termasuk Macedonia Utara, Kosovo dan Serbia dilanda salji luar musim sejak Jumaat, sekali gus menurunkan suhu ke paras tidak menentu sehingga menjejaskan trafik serta mencetuskan amaran cuaca.

Agensi berita negara Bulgaria, BTA, melaporkan suhu bawah sifar dicatatkan di kawasan pergunungan Mavrovo, Macedonia Utara dengan bacaan terendah -4°C dan salji setebal 12 sentimeter.

Mavrovo, yang terletak di barat laut negara itu dan menempatkan taman negara terbesar, lazimnya mencatat suhu purata antara 5°C hingga 16°C pada Oktober, menjadikan keadaan semasa amat luar biasa.

Gangguan trafik turut berlaku sejak Khamis malam apabila salji tebal dan pokok tumbang menghalang laluan di jalan raya wilayah. Pihak berkuasa memaklumkan kerja-kerja pembersihan masih giat dijalankan.

Sementara itu, rangkaian meteorologi Eropah, EUMETNET, yang dianggotai 33 perkhidmatan kebangsaan, mengeluarkan amaran merah untuk Kosovo dan Serbia dengan ramalan salji melebihi 15 sentimeter dalam tempoh 12 jam.

Amaran tersebut turut menyebut risiko gangguan trafik serius serta kerosakan bumbung bangunan akibat salji lebat.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE