NEW YORK, 4 Oktober - Seorang lelaki ditahan Polis New York (NYPD) selepas menjerit dengan ugutan di luar Mahkamah Daerah A.S. di Manhattan ketika prosiding hukuman bintang hip hop Sean "Diddy" Combs berlangsung, pada Jumaat.
Combs, 55, berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengatur perjalanan pengiring lelaki berbayar merentas negeri untuk melakukan persembahan seks disertai dadah bersama teman wanitanya, yang turut dirakam video.
Bagaimanapun, juri sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan lebih berat iaitu pemerasan serta pemerdagangan seks yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.
Pendakwa raya menuntut hukuman lebih 10 tahun penjara, sementara pihak pembelaan memohon beliau dibebaskan segera.
Ketika hadir di mahkamah pagi tadi, Combs yang berpenampilan berjanggut kelabu dan memakai 'sweater' dilihat memeluk pasukan peguamnya sebelum prosiding bermula.
Combs menafikan pertuduhan dan dijangka memfailkan rayuan selepas hukuman dijatuhkan.-REUTERS