WASHINGTON, 18 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, supaya mencari penyelesaian rundingan segera dalam konflik lebih tiga tahun dengan Rusia.
Jelas beliau, Presiden Zelenskyy boleh menamatkan perang dengan Rusia hampir serta-merta jika mahu atau meneruskannya.
"Tiada pengembalian semula wilayah Crimea kepada Obama dan tiada kemasukan Ukraine ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Ada perkara yang tidak akan berubah,” kata Trump dalam hantaran di platform medianya, Truth Social.
Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuan Trump dan Zelenskiy di White House pada Isnin.
Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan mesyuarat dua hala sebelum disertai pemimpin Eropah dalam perbincangan lebih besar.
Menurut laporan New York Times, pemimpin Eropah menyatakan mereka akan hadir ke Washington untuk mengukuhkan kedudukan Zelenskiy, ketika Trump mendesak Ukraine menerima perjanjian damai segera bagi menamatkan perang paling dahsyat di Eropah sejak 80 tahun lalu.
Trump kini memberi tekanan kepada Zelenskiy untuk mencapai persetujuan selepas pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Alaska pada Jumaat lalu.
Washington mendakwa mesyuarat itu membawa “kemajuan besar”, namun masih belum menghasilkan perjanjian bagi menamatkan konflik.
Rusia sebelum ini menolak kemasukan Ukraine ke dalam NATO, sebuah pakatan pertahanan bersama yang kini dianggotai 32 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jerman. -REUTERS