fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan: Darurat tahap dua diisytihar di Galicia

Anggota bomba berada di lokasi untuk operasi memadam kebakaran / Foto VIORY

MADRID, 18 Ogos - Pihak berkuasa Sepanyol mengisytiharkan darurat tahap dua di beberapa kawasan Galicia, selepas kebakaran hutan semakin merebak akibat cuaca panas terik dan angin kering.

Darurat tahap dua merujuk kepada situasi kebakaran yang mengancam kawasan berpenduduk dan memerlukan bantuan tambahan daripada tentera serta agensi pusat.

Penduduk di 32 bandar diarah kekal berada di dalam rumah susulan keadaan yang semakin berbahaya.

Rakaman di Laza pada Ahad menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api, manakala pasukan kecemasan membersihkan semak kering bagi menghalang kebakaran merebak.

Kebakaran turut menjejaskan pengangkutan utama termasuk Lebuh Raya A-52 dan perkhidmatan kereta api laju Madrid–Galicia, menyebabkan ribuan penumpang terkandas.

Lebih 1,200 anggota tentera dikerahkan membantu operasi.

Perancis menghantar dua pesawat pengebom air selepas Madrid memohon bantuan Kesatuan Eropah (EU).

EU turut mengaktifkan mekanisme kecemasan dengan menghantar tambahan pesawat ke Sepanyol, Greece dan Portugal.

Setakat ini, tujuh orang maut, manakala lebih 158,000 hektar kawasan musnah sejak Januari, menjadikannya antara musim kebakaran terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini. -VIORY

FARIS IZZAT SHAHARUDIN