fb fb fb fb fb

Trump desak rundingan damai Hamas-Israel disegerakan

Hidup rakyat Palestin sentiasa dalam pelarian yang berdepan dengan kereta kebal tentera Israel/Foto AFP

KAHERAH, 6 Oktober – Delegasi Hamas, Israel dan Amerika Syarikat dijadual memulakan rundingan di Mesir hari ini bagi mencari jalan ke arah gencatan senjata di Gaza, sekali gus menamatkan perang hampir dua tahun.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa semua pihak supaya bertindak pantas mencapai perjanjian damai yang turut melibatkan pertukaran tawanan antara tebusan Israel di Gaza dengan rakyat Palestin yang dipenjara rejim Zionis.

Hamas diwakili ketua perundingnya, Khalil al-Hayya, yang sebelum ini terselamat daripada serangan udara Israel di Doha bulan lalu.

Beliau dijadual bertemu wakil Mesir dan Qatar di Kaherah pagi tadi sebelum rundingan rasmi di Sharm El-Sheikh.

Menurut pegawai kanan Hamas, perbincangan kali ini akan menentukan tarikh gencatan sementara dan memulakan fasa pertama pelan yang menyaksikan 47 tebusan dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin.

Trump dalam kenyataan di platform Truth Social memuji “perbincangan positif” bersama Hamas serta negara Arab dan Islam lain, sambil menegaskan proses damai perlu dipercepatkan.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi turut menyokong inisiatif itu yang disifatkan sebagai “langkah ke arah keamanan dan kestabilan jangka panjang”.

Namun, di sebalik rundingan damai, serangan udara Israel masih berterusan di Gaza.

Rakaman Agensi AFP menunjukkan beberapa letupan besar di sekitar bandar Gaza, meskipun Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, telah mendesak rejim Zionis menghentikan serangan.

Sumber Palestin memaklumkan Hamas bersedia menghentikan operasi ketenteraan sekiranya Israel turut menarik keluar tenteranya dari Gaza City.

Penduduk tempatan turut mengesahkan berlaku pengurangan ketara serangan sejak semalam.

Namun, Pasukan Pertahanan Awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang terkorban semalam, termasuk 13 di Bandar Gaza.

Serangan Israel sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Walaupun pelan Trump menolak peranan Hamas dalam pemerintahan Gaza, rakyat Palestin berharap inisiatif ini menjadi langkah pertama ke arah keamanan sebenar. -AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN