fb fb fb fb fb

Pelarian Palestin harap sinar baharu daripada rundingan Gaza

Kawasan khemah pelarian penduduk Palestin / Foto REUTERS

GAZA, 6 Oktober -Ketika rundingan damai antara Hamas dan Israel berlangsung di Mesir, pelarian Palestin di kawasan pesisir Gaza hanya mampu menaruh harapan agar kali ini ia benar-benar membawa titik perubahan.

Mereka yang sudah berbulan-bulan hidup di khemah sementara, bimbang jika rundingan gagal, namun tetap berharap pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis berakhir.

“Kami semua risau gencatan senjata tak akan berlaku. Ini kali kedua kami dipindahkan.

Kami hidup dalam kesejukan, di jalan tanpa arah. Keadaan ini sangat hina,” kata Sameh Abd-Rabboh, pelarian dari Jabalia.

Seorang lagi pelarian, Atallah Yaghi dari Bandar Gaza percaya, dunia kini semakin sepakat mahu menamatkan pertumpahan darah.

“Saya nampak cahaya samar di hujung terowong. Semoga hasil rundingan ini membawa kebaikan kepada semua,” katanya.

Rundingan berkenaan, yang disertai Hamas pada Ahad, disokong Amerika Syarikat dan dilaporkan berjalan pantas.

Fasa awal melibatkan pertukaran tahanan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Hamas masih menolak syarat perlucutan senjata sepenuhnya yang dianggap bertentangan dengan perjuangan mereka.

Walaupun harapan untuk gencatan senjata semakin kuat, serangan Israel masih diteruskan.

Pesawat dan kereta kebal rejim itu mengebom beberapa kawasan di Gaza pada Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang, menurut pihak kesihatan tempatan.

Sejak 7 Oktober 2023 Israel telah membunuh lebih 67,000 penduduk Gaza, majoritinya wanita dan kanak-kanak. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN