NEW DELHI, 6 Oktober -Polis India memulakan siasatan jenayah terhadap sebuah syarikat pengeluar ubat batuk selepas 10 kanak-kanak dilaporkan maut akibat meminum ubat yang dipercayai tercemar dengan bahan kimia berbahaya.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan India, ubat batuk jenama Coldrif, yang dihasilkan oleh Sresan Pharma, didapati mengandungi diethylene glycol melebihi paras dibenarkan.
"Bahan kimia itu boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan organ dan kematian jika diambil dalam dos tinggi.
Sampel ubat itu diuji selepas kematian beberapa kanak-kanak di negeri Madhya Pradesh dan keputusan menunjukkan pencemaran serius dalam produk tersebut," menurut kenyataan itu.
Naib Ketua Menteri Madhya Pradesh, Rajendra Shukla berkata, seorang doktor yang menulis preskripsi ubat itu turut ditahan polis, manakala kilang pengeluar di Tamil Nadu disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.
“Kes jenayah telah didaftarkan terhadap doktor berkenaan dan kilang tersebut,” katanya kepada agensi berita ANI.
Syarikat itu berdepan tuduhan membunuh tanpa niat, mencemarkan ubat, serta melanggar Akta Ubat dan Kosmetik India.
Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa lesen pengilangan syarikat berkenaan akan dicadangkan untuk dibatalkan selepas siasatan lanjut oleh pihak berkuasa farmaseutikal.
India, yang digelar “farmasi dunia”, kini berdepan semakan ketat antarabangsa selepas beberapa kes kematian kanak-kanak akibat ubat batuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Berdasarkan data pengawal selia ubat India, negara itu membekalkan 40 peratus ubat generik kepada Amerika Syarikat, 25 peratus kepada Britain dan lebih 90 peratus kepada negara-negara Afrika. -REUTERS