MOSCOW, 7 Oktober -Rusia mendakwa tentera udaranya menembak jatuh 251 dron yang dilancarkan Ukraine dalam satu serangan besar-besaran malam tadi.
Ia dipercayai antara serangan balas terbesar Kyiv terhadap Rusia sejak konflik lebih tiga tahun lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, 40 dron ditembak jatuh di Crimea, manakala 62 lagi dimusnahkan di ruang udara Laut Hitam.
"Beberapa dron lain turut ditembak jatuh di wilayah Kursk dan Belgorod, serta kawasan lain berhampiran sempadan," menurut kenyataan sama.
Rusia sejak kebelakangan ini terus melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas rangkaian tenaga Ukraine sebagai sebahagian strategi tekanannya.
Sebagai tindak balas, Ukraine pula meningkatkan serangan terhadap kilang minyak dan infrastruktur tenaga Rusia, dalam usaha melemahkan keupayaan logistik dan ekonomi Moscow. -AFP