CHICAGO, 6 Oktober -Gabenor Illinois, JB Pritzker, mengecam tindakan Presiden Donald Trump yang mengerahkan 400 anggota Pengawal Kebangsaan Texas ke Illinois, Oregon dan beberapa lokasi lain di Amerika Syarikat.
Beliau menegaskan, arahan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan atau penyelarasan rasmi dengan kerajaan negeri.
Dalam satu hantaran di laman X, Pritzker menyifatkan langkah itu sebagai “pencerobohan Trump”.
“Kita mesti mula menyebut perkara ini sebagai Pencerobohan Trump. Ia bermula dengan ejen persekutuan.
Namun kini melibatkan Pengawal Kebangsaan Illinois yang difederalisasikan tanpa persetujuan kami dan seterusnya penghantaran pasukan tentera negeri lain,” katanya.
Pritzker turut menggesa Gabenor Texas, Greg Abbott, supaya menarik balik sokongan terhadap keputusan tersebut.
“Tiada sebab seorang presiden menghantar pasukan tentera ke negeri berdaulat tanpa pengetahuan, persetujuan atau kerjasama mereka,” tegasnya.
Beliau menambah, anggota Pengawal Kebangsaan tidak seharusnya dijadikan alat politik dan menggesa rakyat Amerika bersuara menentang tindakan itu.
“Anggota yang berkhidmat untuk negara tidak boleh digunakan sebagai prop politik.
Setiap rakyat Amerika perlu bersuara dan menghentikan kegilaan ini,” katanya lagi.
Pengawal Kebangsaan ialah pasukan militia negeri yang berada bawah kawalan gabenor masing-masing, kecuali apabila mereka diaktifkan untuk perkhidmatan persekutuan.
Sebelum ini, pasukan itu pernah dikerah untuk mengawal Los Angeles dan Washington D.C.
Trump dilaporkan mahu menghantar lebih ramai anggota ke bandar lain walaupun mendapat bantahan kerajaan tempatan. -REUTERS