SYDNEY, 6 Oktober -16 orang cedera dalam kejadian tembakan rambang di barat Sydney pada malam Ahad.
Menurut Polis New South Wales, suspek merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun, melepaskan kira-kira 50 das tembakan dari rumahnya di kawasan Inner West.
Suspek menyasarkan kenderaan dan orang awam yang lalu lalang.
Pasukan polis bergegas ke lokasi dan menutup seluruh kawasan sebelum menyerbu bangunan dua tingkat yang menempatkan kediaman suspek.
Suspek berjaya ditahan dan sepucuk rifle turut dirampas di lokasi kejadian.
Menurut saksi, Joe Azar, dia yang bekerja di seberang jalan pada waktu kejadian menyangka bunyi kuat itu daripada mercun atau batu yang dilempar ke tingkap.
“Tiba-tiba cermin kereta pecah, kemudian kaca di hentian bas meletup.
Keadaan jadi panik, semuanya berlaku terlalu pantas,” katanya.
Pemangku Superintenden Polis New South Wales, Stephen Parry berkata, insiden berkenaan antara kejadian paling jarang berlaku sepanjang 35 tahun beliau berkhidmat dalam pasukan polis.
“Jarang sekali seseorang bertindak menembak secara rawak ke arah orang ramai di jalanan,” katanya.
Polis memaklumkan suspek mengalami kecederaan ringan di sekitar mata ketika ditahan dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Setakat ini belum ada pertuduhan dikenakan dan siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, seorang mangsa dilaporkan bergegas ke hospital dengan kesan tembakan dan dilaporkan stabil.
Manakala mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan akibat pecahan kaca dan serpihan peluru. -AFP