fb fb fb fb fb

Trump cadang penjenayah vandalisme Tesla disumbat ke penjara El Salvador

Presiden AS Donald Trump dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk bercakap kepada media sambil berdiri di sebelah sebuah kenderaan Tesla di Portico Selatan. / Foto REUTERS

WASHINGTON, 22 Mac-Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencadangkan bahawa individu yang merosakkan harta benda Tesla, jenama kereta milik sekutunya, Elon Musk boleh dihantar ke penjara di El Salvador.

"Saya menantikan untuk melihat individu sakit ini menerima hukuman penjara 20 tahun atas apa yang mereka lakukan terhadap Elon Musk dan Tesla," tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

"Mungkin mereka boleh menjalani hukuman di penjara El Salvador, yang baru-baru ini menjadi terkenal kerana keadaannya yang ‘indah’!" tambahnya, merujuk kepada negara Amerika Tengah yang dikenali dengan layanan keras terhadap penjenayah.

Kenyataan Trump itu mengukuhkan lagi sokongan pentadbirannya terhadap Musk, yang menjadi penasihat utama dan telah mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat Amerika sebagai seorang jutawan tanpa jawatan rasmi yang mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) dengan langkah pemotongan kos yang agresif.

Beberapa pusat jualan Tesla di seluruh negara telah menjadi sasaran vandalisme beberapa minggu kebelakangan ini, disamping harga saham syarikat itu yang merosot dalam tempoh sebulan yang lepas.

Peguam Negara AS, Pam Bondi, minggu ini melabelkan perbuatan vandalisme terhadap harta Tesla sebagai "pengganas domestik" dalam satu kenyataan terbuka yang menyokong Musk.

Pada Khamis, Bondi mengumumkan bahawa dakwaan telah dikemukakan terhadap tiga individu yang dituduh menyerang kenderaan Tesla, dengan hukuman antara lima hingga 20 tahun penjara.

Tiga tertuduh, yang tidak didedahkan identitinya, "akan berdepan dengan undang-undang sepenuhnya" kerana menggunakan bom Molotov untuk membakar kenderaan Tesla dan stesen pengecas di Oregon, Colorado, dan Carolina Selatan, kata Jabatan Kehakiman AS.

Cadangan Trump untuk menghantar pelaku vandalisme Tesla ke penjara El Salvador menjadi lebih signifikan selepas pegawai AS minggu lalu menerbangkan lebih daripada 200 suspek anggota kumpulan jenayah untuk dipenjarakan di negara tersebut.

Langkah itu mencetuskan kemarahan kerana ia didakwa melanggar perintah mahkamah AS yang menghalang penghantaran tahanan walaupun pentadbiran Trump menegaskan ia dilakukan secara sah.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD