fb fb fb fb fb

Pakistan tahan aktivis wanita terkemuka Balochistan

Aktivis wanita terkemuka Balochistan, Mahrang Baloch / Foto /www.thebalochistandiaries.com

QUETTA, 22 Mac-Pakistan menahan seorang aktivis hak asasi manusia wanita terkemuka dari Balochistan kerana mengadakan protes duduk di wilayah itu, yang turut menyaksikan tiga penunjuk perasaan turut terbunuh, menurut polis.

Mahrang Baloch, salah seorang aktivis hak asasi manusia paling terkenal di Pakistan, telah lama memperjuangkan hak etnik Baloch di wilayah Balochistan yang didakwa sering menjadi sasaran gangguan, penahanan, dan pembunuhan di luar undang-undang oleh kerajaan Pakistan.

Kerajaan Pakistan menyatakan bahawa pasukan keselamatannya sedang memerangi kumpulan pemisah yang menyasarkan pasukan kerajaan dan warga asing di wilayah yang kaya dengan bahan mineral itu,

"Dia, bersama 17 penunjuk perasaan lain, termasuk 10 lelaki dan tujuh wanita, telah ditahan," kata seorang pegawai polis kanan kepada AFP.

"Kami sedang menilai apakah pertuduhan yang akan dikenakan terhadap mereka," tambahnya.

Para penunjuk perasaan telah mengadakan protes duduk pada Jumaat di luar Universiti Balochistan, menuntut pembebasan ahli kumpulan mereka yang didakwa ditahan oleh agensi keselamatan.

Kumpulan sokongan Baloch Yakjehti Committee, yang diketuai oleh Mahrang Baloch, menyatakan bahawa dia telah ditahan bersama penunjuk perasaan lain dalam satu serbuan sebelum subuh oleh pasukan keselamatan negara.

Konfrontasi tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan terbunuh, menurut jurucakap kerajaan wilayah Balochistan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) mengecam penggunaan keganasan terhadap penunjuk perasaan dan mendesak pembebasan segera penunjuk perasaan yang ditahan.

"Pihak berkuasa mesti segera menghentikan penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan aman dan membebaskan mereka yang ditahan secara arbitrari," kata HRCP dalam satu kenyataan.

"Penggunaan tindakan ketenteraan yang berlebihan dan tidak sah oleh kerajaan mesti dihentikan segera untuk membuka jalan kepada penyelesaian politik yang bermakna," tambahnya.

Mahrang Baloch sebelum ini dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat tahun lalu untuk menghadiri majlis anugerah majalah TIME selepas disenaraikan dalam TIME100 Next 2024 sebagai pemimpin muda yang berpengaruh.

Dia memulakan kerjayanya sebagai aktivis pada usia 16 tahun pada tahun 2009, selepas bapanya hilang dalam apa yang didakwa sebagai "kehilangan paksa". Mayat bapanya ditemui dua tahun kemudian.

Di Balochistan, protes dan advokasi hak asasi manusia kebanyakannya dipimpin oleh wanita, yang menyatakan bahawa golongan lelaki telah menjadi sasaran utama dalam penindasan yang berlarutan selama beberapa dekad oleh pihak berkuasa.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD