DUBAI, 22 Mac-Tentera Sudan pada Jumaat mengumumkan bahawa mereka telah mengambil alih sepenuhnya kawalan ke atas Istana Presiden di ibu negara Khartoum.
Ini merupakan satu kejayaan besar dalam konflik selama dua tahun dengan kumpulan bersenjata yang mengancam untuk memecahbelahkan negara itu.
Pasukan Tentera Sudan yang sebelum ini berada dalam keadaan terdesak mula memperoleh kemenangan dan berjaya merampas kembali kawasan daripada pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di bahagian tengah Sudan.
RSF pula terus mengukuhkan penguasaannya di wilayah barat dan memburukkan lagi perpecahan Sudan.
RSF kini sedang membentuk kerajaan di kawasan-kawasan yang mereka kuasai, namun dijangka tidak akan mendapat pengiktirafan antarabangsa secara meluas.
Beberapa jam selepas kenyataan dikeluarkan tentera Sudan, RSF menegaskan bahawa mereka masih berada di sekitar istana dan telah melancarkan serangan yang membunuh puluhan askar tentera.
Sumber tentera berkata bahawa pejuang RSF berada kira-kira 400 meter dari istana.
Mereka juga melaporkan bahawa tentera telah menjadi sasaran serangan dron yang membunuh beberapa askar serta tiga wartawan televisyen kerajaan.
"Kami terus berjuang, dan ketabahan serta semangat kami datang daripada rakyat Sudan yang menyokong angkatan tentera," kata ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dalam ucapan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Sudan.
RSF sebelum ini telah menawan Istana Presiden di Khartoum dan bandar itu, selepas perang meletus pada April 2023 akibat pertikaian mengenai penyatuan pasukan separa tentera ke dalam angkatan tentera.
Ramai rakyat Sudan menyambut baik kenyataan tentera bahawa mereka telah menguasai istana.
"Pembebasan istana adalah berita terbaik yang saya dengar sejak perang bermula kerana ini bermakna tentera akan mula mengawal seluruh Khartoum," kata seorang penduduk Khartoum, Mohamed Ibrahim,
Lewat malam Khamis, RSF mendakwa bahawa mereka telah menawan sebuah pangkalan utama tentera di Darfur Utara, wilayah di bahagian barat negara itu.
Konflik berkenaan telah menyebabkan krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan kebuluran semakin merebak di beberapa lokasi serta penyakit melanda penduduk negara berjumlah 50 juta orang itu.
Kedua-dua pihak telah dituduh melakukan jenayah perang, manakala RSF turut didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai. Namun, kedua-dua pihak menafikan tuduhan tersebut.-REUTERS.