fb fb fb fb fb

Trump beri dua minggu nilai peluang damai Rusia-Ukraine

Foto- AFP

WASHINGTON, 22 Ogos - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menetapkan tempoh dua minggu untuk menilai prospek rundingan damai antara Rusia dan Ukraine ketika beliau menggandakan usaha bagi menamatkan peperangan.

“Saya katakan dalam tempoh dua minggu kita akan tahu sama ada ada peluang atau tidak,” katanya dalam temu bual telefon bersama hos Newsmax, Todd Starnes.

Trump menambah bahawa selepas itu beliau mungkin mengambil pendekatan berbeza, namun tidak menjelaskan secara lanjut.

Trump sebelum ini berjanji semasa pilihan raya presiden tahun lalu untuk menamatkan perang dalam sehari, tetapi selepas lebih tiga tahun pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022, beliau masih gagal mencapai sebarang kejayaan besar.

Jumaat lalu, beliau bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada sidang kemuncak di Alaska yang tidak menghasilkan sebarang persetujuan, malah menyaksikan Trump menggugurkan desakan gencatan senjata awal.

Pada Isnin, Trump turut mengadakan pertemuan di White House bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dan beberapa pemimpin Eropah, sekali gus mencetuskan harapan agar Putin dan Zelensky boleh bersemuka dalam sidang damai.

Bagaimanapun, Zelensky menuduh Rusia cuba mengelak daripada pertemuan itu dan tidak berminat untuk menamatkan perang.

Rusia pula mendakwa Ukraine tidak berminat kepada perdamaian jangka panjang kerana mahu jaminan keselamatan yang bercanggah dengan tuntutan Moscow.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN