GAZA CITY, 22 Ogos - Sekurang-kurangnya 70 penduduk Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza, manakala 356 lagi dilaporkan cedera.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah keseluruhan korban sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 62,192 orang dengan lebih 157,000 cedera.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh, berkata dua lagi kematian berpunca daripada kebuluran, menjadikan angka mangsa yang maut akibat kekurangan makanan kepada 271 orang termasuk 112 kanak-kanak.
“Keadaan di Gaza sudah melampaui tahap genosid,” katanya kepada media, sambil mendakwa Israel menghalang lebih 430 barangan makanan asas daripada memasuki wilayah itu sejak enam bulan lalu.
Al-Bursh turut menegaskan angka korban sebenar dijangka lebih tinggi kerana banyak kes kematian belum dapat direkodkan berikutan mangsa tidak sempat dibawa ke hospital.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel memaklumkan pihaknya telah meminta hospital dan pertubuhan antarabangsa di utara Gaza memindahkan pesakit serta peralatan perubatan ke selatan menjelang operasi baharu di Gaza City.-REUTERS