fb fb fb fb fb

Kanada rekod wabak campak terburuk dengan lebih 4,500 kes

Foto- AFP

TORONTO, 22 Ogos - Kanada mencatat lebih 4,500 kes campak, jumlah tertinggi di rantau Amerika, menurut data terbaharu dikeluarkan semalam.

Wilayah Alberta yang mempunyai kira-kira lima juta penduduk merekodkan lebih banyak kes berbanding Amerika Syarikat tahun ini, menjadikannya kawasan paling teruk terjejas mengikut kadar populasi.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan Kanada menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan kes campak yang disahkan di rantau Amerika pada tahun ini.

Kanada sebelum ini mengisytiharkan penyakit campak telah dihapuskan pada 1998, namun virus itu kembali menular, terutama dalam kalangan komuniti Kristian Mennonite yang menolak vaksin.

Wilayah Ontario, yang mempunyai kira-kira 16 juta penduduk, merekodkan 2,366 kes, manakala Alberta mengesahkan 1,790 kes setakat minggu ini. Wilayah British Columbia pula melaporkan 190 kes.

Sebaliknya, Amerika Syarikat yang kini berdepan wabak campak terburuk dalam tempoh 30 tahun, mencatat 1,375 kes, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Pejabat Serantau WHO bagi Amerika, Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO), memaklumkan 71 peratus kes berlaku dalam kalangan individu yang tidak divaksin, manakala 18 peratus lagi membabitkan individu dengan status vaksinasi tidak diketahui.

Pakar kesihatan Kanada mengaitkan penularan wabak ini dengan penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin, selain keraguan lama dalam kalangan komuniti Anabaptist termasuk Mennonite.

Punca awal wabak dikaitkan dengan satu majlis perkahwinan komuniti Mennonite di wilayah New Brunswick.

Setakat ini, satu kematian yang dipercayai berkaitan campak dilaporkan membabitkan seorang bayi pramatang yang dilahirkan oleh ibu tidak divaksin, namun pihak berkuasa kesihatan menjelaskan bayi berkenaan turut mempunyai masalah kesihatan lain.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN