GENEVA, 22 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kanak-kanak di Semenanjung Gaza yang kekurangan zat makanan serius berdepan risiko maut jika bantuan tidak segera disalurkan.
Pesuruhjaya Agung Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata masalah kebuluran paling teruk berlaku di utara Gaza, termasuk Gaza City, yang menempatkan kira-kira sejuta penduduk.
Beliau memaklumkan pusat kesihatan UNRWA merekodkan peningkatan enam kali ganda jumlah kanak-kanak yang kekurangan zat makanan sejak Mac lalu.
“Jika tiada tindakan segera, ramai kanak-kanak tidak akan dapat diselamatkan,” katanya pada sidang media di Geneva.
Lazzarini berkata sudah ada penduduk yang meninggal dunia akibat kebuluran, dan jumlahnya dijangka terus meningkat.
Awal minggu ini, Amnesty International menuduh Israel melaksanakan dasar kelaparan yang disengajakan di Gaza.
Tanpa menyebut Israel secara langsung, Lazzarini menyifatkan situasi itu sebagai kebuluran yang disengajakan dan makanan digunakan sebagai senjata peperangan.
Israel menghadkan kemasukan bantuan ke Gaza, namun menolak dakwaan bahawa pihaknya sengaja menyebabkan kebuluran.
Israel turut mengumumkan rancangan untuk menawan Gaza City dan memberi amaran penduduk di utara akan dipindahkan.
Lazzarini memberi amaran bahawa penduduk yang sudah lemah akibat kebuluran mungkin tidak mampu berpindah atau bertahan jika operasi ketenteraan baharu dijalankan.-AFP