fb fb fb fb fb

PBB desak Amerika Syarikat henti tindakan balas terhadap hakim ICC

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk. Foto- AFP

GENEVA, 22 Ogos - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Amerika Syarikat menghentikan tindakan balas berterusan selepas Washington mengenakan sekatan tambahan terhadap hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Amerika Syarikat pada Rabu mengenakan sekatan ke atas dua lagi hakim serta dua pendakwa ICC, termasuk dari negara sekutu Perancis dan Kanada, dalam usaha baharu untuk melemahkan tribunal itu khususnya berkaitan tindakannya terhadap Israel.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, berkata tindakan Amerika Syarikat itu mesti dihentikan segera.

“Peningkatan berterusan tindakan balas Amerika Syarikat terhadap institusi antarabangsa dan kakitangannya mesti dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa mengenakan sekatan terhadap pegawai ICC yang menjalankan mandat mereka adalah satu serangan terhadap kedaulatan undang-undang dan merosakkan keadilan, serta menggesa semua langkah berkenaan ditarik balik.

“Sementara itu, saya menyeru negara-negara mengambil langkah segera untuk melindungi semua individu yang dikenakan sekatan, termasuk dengan menggalakkan syarikat dalam bidang kuasa mereka supaya tidak melaksanakan sekatan tersebut,” katanya.

Turk turut mengingatkan bahawa negara-negara perlu mempertahankan institusi yang diwujudkan untuk menegakkan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

“Mereka yang berusaha mendokumentasi, menyiasat dan mendakwa pelanggaran serius undang-undang antarabangsa tidak seharusnya bekerja dalam ketakutan,” katanya.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN