fb fb fb fb fb

48 terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Foto- AFP

GAZA CITY, 22 Ogos - Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh akibat serangan udara Israel di wilayah Palestin itu, termasuk beberapa mangsa yang terkorban dalam serangan di Gaza City menjelang serangan besar-besaran untuk menawan kawasan tersebut.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata sekurang-kurangnya lapan orang maut dalam serangan udara di kejiranan Sabra di Gaza City.

Penduduk memaklumkan, Sabra dan kawasan berdekatan Zeitoun antara lokasi paling teruk dibedil dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Agensi pertahanan awam turut melaporkan serangan di beberapa lokasi lain termasuk kem al-Manasra di tengah Gaza, sebuah pusat bantuan di Khan Yunis di selatan wilayah itu, serta kawasan sekitar Gaza City di bahagian utara.

Apabila dihubungi AFP, tentera Israel meminta koordinat dan masa khusus untuk mengulas laporan berkenaan. Tentera rejim berulang kali mempertikai angka korban yang dikeluarkan agensi pertahanan awam Gaza.

Seorang wartawan AFP di Hospital Al-Shifa, Gaza City, menyaksikan beberapa mayat dibawa ke perkarangan hospital selepas terbunuh dalam serangan udara Israel.

Sekatan media di Gaza serta kesukaran untuk memasuki kawasan terbabit menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah korban atau butiran yang diberikan agensi pertahanan awam mahupun tentera Israel.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN