fb fb fb fb fb

Mahkamah AS batal penalti sivil AS$464 juta terhadap Trump, sabitan kekal

Foto- AFP

NEW YORK, 22 Ogos - Mahkamah Amerika Syarikat membatalkan penalti sivil berjumlah AS$464 juta (RM2.1 bilion) terhadap Presiden Donald Trump, dengan menyifatkan jumlah itu berlebihan, namun mengekalkan keputusan bersalah kerana memalsukan nilai kekayaannya.

Hakim Arthur Engoron pada Februari 2024 memutuskan Trump bersalah selepas mendapati beliau dan syarikatnya secara tidak sah meningkatkan nilai kekayaan serta memanipulasi aset bagi mendapatkan pinjaman bank dan syarat insurans lebih baik.

Engoron turut mengarahkan Trump membayar penalti berjumlah AS$464 juta termasuk faedah, manakala dua anaknya, Eric dan Donald Jr., diperintahkan menyerahkan lebih AS$4 juta setiap seorang.

Pada Khamis, Bahagian Rayuan Mahkamah Agung New York mengekalkan sabitan berkenaan namun memutuskan jumlah penalti itu sebagai berlebihan dan bercanggah dengan Pindaan Kelapan Perlembagaan Amerika Syarikat.

Peguam Negara New York, Letitia James, yang membawa kes tersebut, kini berpeluang mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan New York.

Trump sebelum ini mencabar keputusan sivil berkenaan serta jumlah penalti yang terus dikenakan faedah sepanjang proses rayuan.

Beliau juga berulang kali mengecam kes itu sebagai bermotif politik.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN