NIGERIA, 21 Ogos - Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam satu serangan kumpulan bersenjata ke atas sebuah masjid di barat laut Nigeria, menurut seorang penduduk dan seorang pegawai tempatan.
Kumpulan penjenayah bersenjata menyerang sebuah masjid di bandar Unguwar Mantau, daerah Malumfashi, negeri Katsina pada hari Selasa.
Kumpulan pemantau konflik melaporkan jumlah awal korban adalah seramai 13 orang dengan 60 yang lain diculik.
Serangan terhadap jemaah ketika solat Subuh itu berlaku walaupun baru-baru ini terdapat beberapa perjanjian damai di negeri Katsina yang bertujuan membendung serangan oleh kumpulan bersenjata.
Bagaimanapun, Malumfashi tidak termasuk dalam kawasan yang menandatangani gencatan senjata.
“Sembilan jemaah terbunuh di tempat kejadian dan ramai lagi meninggal dunia. Jumlah korban terkini mencecah 32 orang,” kata seorang penduduk, Nura Musa.
Ahli politik tempatan, Aminu Ibrahim memberitahu Dewan Perundangan Negeri Katsina bahawa penyerang telah membunuh 30 orang.
“Mereka membakar hidup-hidup 20 orang lagi semasa serangan ke atas beberapa buah kampung berhampiran", katanya.
Kumpulan penjenayah bersenjata telah sekian lama menjadi ancaman kepada komuniti luar bandar di wilayah barat laut dan tengah Nigeria, menyerang kawasan kampung, menculik penduduk untuk wang tebusan dan membakar rumah selepas merompaknya. - AFP