fb fb fb fb fb

21 negara kecam projek penempatan haram Israel di Tebing Barat

Britain, Perancis, Australia, Kanada dan Itali antara negara yang mengecam tindakan Israel / Foto AFP

LONDON, 22 Ogos - Sebanyak 21 negara termasuk Britain, Perancis, Australia, Kanada dan Itali mengecam keputusan Israel meluluskan projek penempatan besar di Tebing Barat yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan bersama, menteri luar negara terbabit menyifatkan keputusan Israel sebagai “tidak boleh diterima” dan menggesa rancangan itu dibatalkan segera.

Negara lain yang turut menandatangani kenyataan itu ialah Belgium, Denmark, Estonia, Finland, Iceland, Ireland, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Belanda, Norway, Portugal, Slovenia, Sepanyol dan Sweden, selain Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell.

Pelan pembangunan melibatkan pembinaan kira-kira 3,400 rumah di kawasan E1, timur Baitulmaqdis.

“Langkah ini tidak membawa manfaat kepada rakyat Israel, sebaliknya mengundang risiko keselamatan, menambah keganasan dan menjejaskan kestabilan,” kata kenyataan itu.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, sebelum ini mengakui projek berkenaan akan memisahkan wilayah Palestin dan menghalang akses ke Baitulmaqdis, sekali gus menjejaskan penyelesaian dua negara.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melalui Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Ramallah turut mengecam langkah tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dan Pesuruhjaya Agung Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menegaskan projek itu akan memutuskan kesinambungan wilayah Tebing Barat dan menjadikan penubuhan negara Palestin semakin mustahil.

Kerajaan Britain turut memanggil Duta Israel ke London, Tzipi Hotovely, ke Kementerian Luar bagi menyampaikan bantahan rasmi.

“Jika rancangan ini dilaksanakan, ia akan menjadi pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa serta merosakkan prospek penyelesaian dua negara,” kata Kementerian Luar Britain.-AFP

HASRON BIN HASSAN