WASHINGTON, 18 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menandatangani satu perintah eksekutif pada Khamis yang membenarkan aktiviti penangkapan ikan secara komersial di kawasan Rizab Marin Negara Pulau-Pulau Terpencil Pasifik (PRIMNM), yang merupakan salah satu ekosistem tropika paling tidak tercemar dan terancam di dunia.
Rizab marin seluas hampir 1.3 juta kilometer persegi itu diwujudkan pada tahun 2009 oleh Presiden George W. Bush dan diperluaskan oleh Presiden Barack Obama pada 2014.
Ia merangkumi tujuh buah pulau dan terumbu karang, menjadikan saiznya hampir dua kali ganda keluasan negeri Texas.
Sebelum ini, semua aktiviti penangkapan ikan secara komersial dan penerokaan sumber seperti perlombongan dasar laut telah diharamkan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, penangkapan ikan secara tradisional dan rekreasi masih dibenarkan.
Dalam perintahnya, Trump berkata larangan tersebut telah “merugikan nelayan komersial AS yang jujur” dan memaksa mereka “menangkap ikan lebih jauh di perairan antarabangsa untuk bersaing dengan armada asing yang kurang dikawal dan disubsidi secara besar-besaran.”
Beliau menambah penangkapan ikan komersial yang dikawal dengan baik tidak akan menjejaskan kepentingan saintifik dan sejarah yang terdapat dalam kawasan PRIMNM.
Kawasan perairan PRIMNM merupakan habitat kepada terumbu karang yang tidak terusik dan pelbagai spesies terancam, termasuk burung laut, jerung dan beberapa jenis paus.
Rizab itu uga sangat sensitif terhadap kesan perubahan iklim, menjadikannya antara persekitaran tropika yang paling terdedah.
Perintah eksekutif itu membenarkan penangkapan ikan komersial oleh kapal berbendera AS di kawasan antara 50 hingga 200 batu nautika (93–370 km) dari pesisir pulau-pulau terbabit.
Kapal asing turut boleh diberi permit untuk “memindahkan hasil tangkapan ikan oleh nelayan AS.”
Trump turut mengarahkan supaya kerajaan “meminda atau memansuhkan semua peraturan yang membebankan dan menyekat penangkapan ikan komersial di PRIMNM.”
Sejak kembali ke White House, Presiden Republikan itu yang dikenali sebagai skeptik terhadap isu perubahan iklim, telah menyasarkan pelbagai peraturan alam sekitar dalam usaha mengurangkan kesannya terhadap sektor perniagaan.-AFP