fb fb fb fb fb

Indonesia timbang tingkat import dari AS, elak tarif eksport

Foto Reuters

JAKARTA, 18 April – Indonesia mengakui bahawa sebarang peningkatan dalam import makanan dan komoditi dari Amerika Syarikat (AS) akan menyebabkan pengalihan tempahan daripada negara-negara lain yang kini menjadi pembekal utama produk tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, kepada wartawan semasa lawatannya ke Washington.

Beliau berada di ibu negara AS itu sebagai sebahagian daripada delegasi pegawai kanan yang sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat AS mengenai isu tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dalam rundingan tersebut, Indonesia telah mengemukakan cadangan untuk meningkatkan import dari AS sehingga AS$19 bilion, termasuk kira-kira AS$10 bilion dalam bentuk import tenaga.

Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan pelaksanaan tarif sebanyak 32 peratus yang diancam oleh Presiden Trump terhadap eksport Indonesia ke pasaran AS.

Menurut Airlangga, rundingan itu adalah penting untuk memastikan hubungan dagangan dua hala kekal stabil dan menguntungkan kedua-dua pihak, sambil menekankan keperluan imbangan dalam dasar perdagangan global.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN