BEIJING, 18 April- Beijing menafikan dakwaan pihaknya membekalkan senjata kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik perang Ukraine.
Penegasan itu dibuat susulan kenyataan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang mendakwa beliau memiliki "maklumat" bahawa China membekalkan senjata kepada Rusia.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memberikan senjata maut kepada mana-mana pihak dalam konflik tersebut, malah turut mengetatkan kawalan terhadap barangan berkegunaan dua hala.
"China tidak pernah membekalkan senjata maut kepada mana-mana pihak dalam konflik ini dan kami mengawal ketat barangan berkegunaan dua hala,” kata Lin dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Zelensky sebelum ini tidak memperincikan tuduhan tersebut, namun menyatakan bahawa pihak Ukraine bersedia untuk berbincang mengenainya secara terperinci.
Minggu lalu, Presiden Ukraine itu turut mendakwa Kiev mengetahui sekurang-kurangnya 155 warga China yang telah dihantar untuk membantu serangan Moscow dan mendakwa dua daripada mereka telah ditawan tentera Ukraine di wilayah Donetsk, timur negara itu.- AFP