fb fb fb fb fb

Bongkar aktiviti kartel dadah, wartawan Mexico ditemukan mati dibunuh

Foto hiasan

MEXICO CITY, 28 Oktober - Seorang wartawan Mexico yang membuat liputan berkaitan pengedaran dadah telah dibunuh sekali gus menjadikan sebagai mangsa terbaharu dalam negara yang terkenal berbahaya dalam kalangan pengamal media.

Menurut laporan tempatan, wartawan berkenaan, Miguel Angel Beltran, sebelum ini bekerja dalam media cetak dan kini melaporkan isu jenayah menerusi media sosial.

Menerusi laporan media tempatan mayat Beltran ditemukan pada Sabtu di sepanjang lebuh raya yang menghubungkan negeri Durango di barat laut dengan Mazatlan.

Pejabat pendakwa negeri Durango mengesahkan kematian Beltran

Beltran membuat laporan menerusi akaun TikTok menggunakan nama Capo dan di Facebook menerusi halaman La Gazzetta Durango.

Dalam salah satu hantaran terakhirnya pada 22 Oktober, Beltran melaporkan mengenai penahanan seorang ketua kumpulan jenayah dikenali sebagai Cabrera Sarabia, yang beroperasi di Durango dan merupakan pesaing kepada kartel Sinaloa dan Jalisco Nueva Generacion.

Reporters Without Borders (RSF) memaklumkan Mexico dianggap antara negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan, dengan lebih 150 pengamal media dibunuh sejak 1994.

Pada November 2024, jurugambar berita Ismael Villagomez ditembak mati di Ciudad Juarez, sebuah bandar di sempadan utara Mexico berhadapan El Paso, Texas. Tiga individu telah ditahan berhubung kes pembunuhan itu.

Sementara itu Pada 2023, sekurang-kurangnya lima lagi wartawan terbunuh di Mexico.

Beltran dan wartawan lain yang terbunuh membuat liputan di kawasan yang dikuasai kartel dadah, serta menerbitkan laporan mereka menerusi media tempatan atau media sosial.

Mexico telah merekodkan kira-kira 480,000 kes pembunuhan sejak Disember 2006, apabila kerajaan mula mengerahkan tentera persekutuan untuk memerangi kartel dadah.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI