ANKARA, 28 Oktober - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, mengumumkan bahawa London telah menandatangani perjanjian untuk menjual pesawat pejuang Eurofighter kepada Türkiye dalam satu perjanjian bernilai hampir AS$11 bilion (kira-kira £8 bilion) untuk tempoh 10 tahun, selepas rundingan bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Isnin.
Starmer berkata, perjanjian itu amat signifikan kerana melibatkan tempahan bernilai tinggi dan peluang pekerjaan jangka panjang.
"Ini adalah perjanjian yang sangat penting, kerana ia bernilai £8 bilion. Ia akan mewujudkan pekerjaan selama 10 tahun bagi pengeluaran pesawat Typhoon (Eurofighter), sangat besar maknanya untuk negara kami," katanya.
Kementerian Pertahanan Britain menyifatkan tempahan 20 pesawat Eurofighter itu sebagai 'perjanjian jet pejuang terbesar', yang bakal memperkukuhkan keupayaan tempur Turkiye dan mempertingkat kekuatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di rantau strategik.
"United Kingdom akan membekalkan Türkiye dengan 20 pesawat Eurofighter Typhoon baharu, dengan pilihan untuk menambah jumlah pada masa hadapan," kata Starmer selepas menandatangani perjanjian tersebut.
Perjanjian itu akan memperkukuh keselamatan NATO, memperluas kerjasama pertahanan dua hala, serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Turkiye dan United Kingdom, selain menjamin 20,000 pekerjaan di Britain menerusi pengeluaran pesawat pejuang berteknologi tinggi.
"Saya berbangga kerana pesawat Typhoon buatan Britain akan menjadi komponen penting Angkatan Udara Turkiye untuk bertahun-tahun akan datang, ketika anda mempertahankan sayap tenggara NATO demi kebaikan semua," tambahnya.
Sementara itu Presiden Turkiye menyifatkan perjanjian tersebut sebagai simbol baharu hubungan strategik antara Turkiye dan Britain.
Namun, lawatan berprofil tinggi itu sedikit tercemar dengan skandal perisikan yang tercetus pada Ahad, selepas mahkamah Turkiye mendakwa Datuk Bandar pembangkang Istanbul kini dipenjarakan atas tuduhan mengintip berkaitan hubungannya dengan seorang ahli perniagaan Turkiye yang dipercayai menjadi perisik untuk Britain.
Bagaimanapun tiada kenyataan dikeluarkan kedua-dua pihak berhubung isu tersebut, meskipun ia menjadi tajuk utama media di Turkiye pada pagi Isnin.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Turkiye, Starmer tiba bersama Menteri Pertahanan Britain, John Healey, dan Ketua Turus Tentera Udara Britain, Air Chief Marshall Harv Smyth, yang disambut rakan sejawat dari Turkiye.
Ankara sebelum ini berusaha untuk memodenkan angkatan udaranya dan mensasarkan pembelian 40 pesawat pejuang buatan Eropah itu, yang dihasilkan secara bersama oleh Britain, Jerman, Itali dan Sepanyol.
Rundingan bersama London dipercepatkan selepas Jerman pada Julai lalu menarik balik veto terhadap penjualan pesawat itu, susulan pendirian tegas Ankara berhubung perang di Gaza.
Ketua Institut Penyelidikan Dasar Luar, Aaron Stein, berkata hubungan Turkiye dengan program Eurofighter beri kerjasama jangka panjang susulan Ankara sebelum ini menolak tawaran untuk menyertai konsortium Eropah kerana memilih program jet pejuang Amerika Syarikat.
"Turkiye telah beberapa kali dijemput menyertai konsortium itu sebagai ahli setara, tetapi mereka memilih F-35," katanya.
Selepas Amerika Syarikat menyingkirkan Turkiye daripada program F-35 pada 2019 berikutan pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Rusia, Turkiye mengubah haluan dengan memberi tumpuan semula kepada Eropah.- AFP