COPENHAGEN, 28 Oktober - Seorang maut apabila pesawat yang berlepas dari Kanada terhempas di Greenland.
Menurut pengumuman pihak berkuasa lapangan terbang Denmark, Naviair pesawat berkenaan hanya membawa seorang individu dilaporkan hilang dari radar pada Sabtu ketika terbang di kawasan pulau Sermitsiaq, utara ibu negara Greenland, Nuuk.
"Pagi ini, lokasi nahas telah dikenal pasti dan malangnya, tiada mangsa yang terselamat," menurut kenyataan pihak berkuasa lapangan terbang itu.
Menurut media Greenland, lokasi kejadian dikenal pasti selepas keadaan berkabus yang menyelubungi kawasan berkenaan sejak hujung minggu mula reda.
"Pesawat telah ditemukan di Gunung Sermitsiaq, namun berada di kawasan yang tidak dapat diakses pada masa ini, menjadikan usaha lanjut pihak berkuasa agak sukar," kata Brian Thomsen daripada polis Greenland kepada akhbar tempatan, Sermitsiaq.
Pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan identiti mangsa.- AFP