SAINT-JULIEN-MONT-DENIS, 18 April- Ribut salji luar biasa di Banjaran Alps telah menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut, dua lagi hilang.
Tragedi itu mengakibatkan gangguan besar terhadap sistem pengangkutan dan bekalan elektrik di Perancis, Itali dan Switzerland.
Fenomena cuaca yang jarang berlaku pada musim bunga ketika ini, menyebabkan lebih satu meter salji turun dalam tempoh beberapa jam, memaksa penutupan kawasan peranginan ski, penangguhan perkhidmatan kereta api dan penutupan beberapa jalan utama.
Di Itali, seorang lelaki berusia 92 tahun ditemui maut di rumahnya yang dinaiki air di wilayah Piedmont manakala dua individu seorang bapa dan anak dilaporkan hilang selepas kenderaan mereka dihanyutkan arus deras berhampiran kediaman mereka di Vicenza, menurut pasukan bomba negara itu.
Dalam kejadian berasingan di Perancis, seorang wanita maut akibat serangan jantung selepas tertimbus dalam runtuhan salji di pusat peranginan ski Val Thorens, sementara pihak berkuasa di Tignes mengarahkan penduduk untuk kekal di dalam rumah selepas lebih 1.1 meter salji direkodkan dalam tempoh semalaman.
Di Switzerland, pihak berkuasa di bandar Sion yang berpopulasi 36,000 orang turut mengarahkan penduduk agar tidak keluar rumah berikutan risiko runtuhan salji yang tinggi.
Paras risiko runtuhan salji di beberapa kawasan juga dinaikkan ke tahap maksimum, menyebabkan penutupan beberapa pusat peranginan ski di seluruh kawasan terjejas.
Beberapa laluan utama turut ditutup termasuk Terowong Mont Blanc yang menghubungkan Perancis dan Itali kepada kenderaan berat manakala ratusan lori terkandas di lebuh raya A43.
Lebih 3,300 rumah di Perancis dilaporkan terputus bekalan elektrik akibat pokok tumbang dan kerosakan kabel elektrik.
Penduduk tempatan menyifatkan ribut salji kali ini sebagai luar biasa.- AFP