PODGORICA, 27 Oktober- Polis Montenegro menahan puluhan warga Turkiye dan Azerbaijan susulan insiden rusuhan hujung minggu lalu yang tercetus selepas seorang lelaki Montenegro ditikam oleh sekumpulan warga Turkiye di ibu negara, Podgorica.
Kejadian berlaku malam Sabtu (25 Oktober) di luar sebuah kafe selepas pertengkaran mulut antara mangsa dan kumpulan warga Turkiye.
Mangsa dilaporkan cedera tetapi dalam keadaan stabil.
Insiden itu mencetuskan ketegangan apabila sekumpulan penduduk tempatan bertindak merosakkan kenderaan bernombor pendaftaran Turkiye dan memaksa beberapa warga Turkiye berlindung di sebuah kasino.
Sebuah restoran milik warga Turkiye turut dipecah masuk pada malam Ahad.
Polis menahan dua suspek utama, masing-masing warga Turkiye dan Azerbaijan serta 45 individu lain dari kedua-dua negara kerana disyaki tidak mempunyai dokumen kediaman sah.
Tujuh daripada mereka dikenakan denda manakala lapan lagi diarahkan pulang.
Perdana Menteri Montenegro, Milojko Spajic memaklumkan kerajaan akan menggantung sementara kemudahan bebas visa bagi warga Turkiye dan mengadakan perbincangan dengan Ankara berhubung aturan visa baharu.
Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataan pula menggesa pihak berkuasa Montenegro mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan dan hak rakyatnya.
Menurut Menteri Dalam Negeri Montenegro, Danilo Saranovic, daripada kira-kira 100,000 warga asing yang berdaftar secara tetap atau sementara di negara itu, sekitar 13,000 adalah rakyat Turkiye. -REUTERS