TOKYO, 27 Oktober- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertemu Maharaja Jepun, Naruhito di Istana Imperial, Tokyo pada Isnin sebagai sebahagian daripada lawatan ke Asia yang bertujuan mengukuhkan kerjasama perdagangan, pelaburan dan pertahanan.
Lawatan itu merupakan perjalanan luar negara paling panjang sejak beliau memegang jawatan pada Januari lalu.
Dalam persinggahan pertamanya di Malaysia, Trump mengumumkan beberapa perjanjian perdagangan dan mineral, dengan empat negara Asia Tenggara sebelum dijadual bertemu Presiden China, Xi Jinping di Korea Selatan pada Khamis.
Berpakaian sut biru gelap dengan tali leher keemasan, Trump berjabat tangan dan bergambar bersama Naruhito di Istana Imperial.
Sebelum ini, Trump juga merupakan pemimpin asing pertama yang bertemu Maharaja Naruhito selepas baginda menaiki takhta pada 2019, meneruskan warisan diraja yang dianggap antara monarki warisan tertua di dunia.
Namun, peranan Maharaja Naruhito hanyalah simbolik manakala sesi diplomatik utama dijangka berlangsung pada Selasa bersama Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi. -REUTERS