LONDON, 28 Oktober - Ketua Reform UK, Nigel Farage, menggesa Parlimen melancarkan siasatan sendiri terhadap pengantunan seksual atau sexual grooming sebagai alternatif yang lebih cepat berbanding inkuiri nasional kerajaan British.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, sebelum ini meyakinkan ahli Parlimen bahawa siasatan peringkat nasional akan mendedahkan kebenaran. Parti Buruh juga telah melakukan lebih banyak usaha berbanding Parti Konservatif sepanjang 14 tahun memerintah.
Siasatan pada tahun 2014 mendedahkan sekurang-kurangnya 1,400 kanak-kanak telah menjadi mangsa eksploitasi seksual di Rotherham, utara England, antara 1997 hingga 2013.
Laporan tersebut menyatakan majoriti pelaku yang dikenal pasti adalah daripada komuniti berketurunan Pakistan dan mendapati sesetengah pegawai tempatan enggan mendedahkan latar belakang etnik pelaku kerana bimbang menggugat perpaduan masyarakat atau dianggap bersifat perkauman.
Dalam pada itu, Farage turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan rakan partinya, Sarah Pochin, yang berkata beliau 'berasa terganggu apabila melihat iklan penuh dengan individu berkulit hitam dan Asia'.
Farage menyifatkan kenyataan itu sebagai 'buruk', namun menegaskan beliau tidak percaya ia dibuat dengan niat rasis.- REUTERS