PARIS, 18 April- Amerika Syarikat (AS) mungkin menarik diri daripada usaha rundingan gencatan senjata Ukraine, sekiranya mendapati perdamaian tidak dapat dicapai dalam masa terdekat.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Jumaat selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai Eropah dan Ukraine di Paris.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini membuka rundingan perdamaian dengan Rusia, mengejutkan sekutunya di Eropah yang kemudiannya berusaha mendapatkan tempat dalam proses tersebut.
Bagaimanapun, rundingan tersebut kini berdepan cabaran apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin menolak gencatan senjata sepenuhnya.
Rubio berkata mesyuarat di Paris bersama wakil UK, Perancis, Jerman dan Ukraine memberikan sumbangan yang positif.
Namun, Washington perlu membuat keputusan dalam tempoh beberapa hari sama ada rundingan itu boleh diteruskan atau tidak.
Jika tidak, katanya, AS akan mengalihkan perhatian kepada keutamaan lain.
"Satu lagi mesyuarat dijadualkan berlangsung di London awal minggu depan bagi mendapatkan jawapan yang lebih konkrit berhubung rundingan damai tersebut," kata Rubio.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Ukraine akan mengadakan lawatan ke Washington minggu depan untuk membincangkan perjanjian berkaitan hasil galian dan mineral bersama pegawai kanan AS.
Trump mahukan perjanjian tersebut sebagai bentuk pampasan terhadap bantuan ketenteraan yang telah diberikan oleh pentadbiran Joe Biden sebelum ini.
Rubio turut menyatakan bahawa AS bersedia untuk mempertimbangkan pelonggaran sekatan terhadap Rusia sebagai sebahagian daripada perjanjian damai, tetapi menegaskan bahawa kebanyakan sekatan ditetapkan oleh negara-negara Eropah dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan tersebut.- AFP