fb fb fb fb fb

Trump arahkan AS keluar daripada WHO

Foto Reuters

NEW YORK, 22 Januari – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan negara itu akan meninggalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau menuduh WHO gagal menangani pandemik COVID-19 dan krisis kesihatan global lain dengan berkesan.

Trump mendakwa WHO tidak bebas daripada "pengaruh politik yang tidak wajar oleh negara anggota WHO" dan mengenakan bayaran kewangan "tidak adil dan membebankan" kepada Amerika Syarikat berbanding sumbangan negara besar lain seperti China.

"WHO menipu kita, semua pihak menipu Amerika Syarikat. Ini tidak akan berlaku lagi," kata Trump ketika menandatangani perintah eksekutif penarikan diri tersebut selepas perasmian penggal keduanya sebagai presiden.

Langkah itu menetapkan tempoh notis selama 12 bulan bagi Amerika Syarikat meninggalkan WHO serta menghentikan semua sumbangan kewangan kepada organisasi itu.

Amerika Syarikat, penyumbang terbesar kepada dana WHO, menyumbang kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan pembiayaan agensi tersebut. Untuk tempoh 2024-2025, belanjawan WHO berjumlah AS$6.8 bilion.

WHO menyatakan kekesalan atas keputusan Amerika Syarikat, dengan jurucakapnya, Tarik Jasarevic, berkata "Kami berharap Amerika Syarikat akan mempertimbangkan semula, dan kami benar-benar berharap ada dialog membina demi kebaikan semua, termasuk rakyat Amerika dan masyarakat dunia."

Beberapa pakar menyuarakan kebimbangan bahawa penarikan Amerika Syarikat boleh menjejaskan program utama WHO, termasuk usaha melawan tuberkulosis, penyakit berjangkit paling mematikan di dunia, HIV/AIDS, dan kecemasan kesihatan lain.

"Ini adalah hari tergelap untuk kesihatan global yang pernah saya alami," kata Lawrence Gostin, Profesor Kesihatan Global di Universiti Georgetown, Washington. "Trump mungkin sedang menanam benih untuk pandemik seterusnya."

Jerman, penderma negara kedua terbesar kepada WHO, menyuarakan harapan agar Trump mengubah keputusan tersebut, sementara Kesatuan Eropah (EU) turut melahirkan kebimbangan.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Guo Jiakun, menyatakan sokongan terhadap WHO"China akan terus menyokong WHO dalam melaksanakan tanggungjawabnya serta memperdalam kerjasama kesihatan awam antarabangsa."

Langkah Trump ini mengulangi usaha beliau pada 2020 semasa penggal pertamanya, apabila beliau menuduh WHO membantu China menyesatkan dunia mengenai asal-usul COVID-19.

WHO telah menafikan tuduhan itu dan terus mendesak China berkongsi data untuk menentukan sama ada COVID-19 berpunca daripada hubungan manusia dengan haiwan yang dijangkiti atau penyelidikan di makmal.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN