WASHINGTON, 22 Januari- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelaburan sektor swasta sehingga AS$500 bilion untuk membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Peruntukan itu bertujuan mendahului negara pesaing dalam teknologi utama itu.
Kerjasama Stargate yang melibatkan OpenAI, SoftBank dan Oracle bakal membina satu pusat data mega selain menyediakan lebih 100,000 peluang pekerjaan di AS.
Projek itu telah menerima komitmen pelaburan AS$100 bilion sebagai permulaan, dengan baki pelaburan dijangka disalurkan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pusat data pertama kini dalam pembinaan di Texas, dengan 20 fasiliti tambahan dirancang, masing-masing berkeluasan setengah juta kaki persegi.
"Teknologi ini akan menyokong sistem AI, termasuk analisis rekod kesihatan elektronik untuk membantu penjagaan pesakit, kata Pengerusi Oracle, Larry Ellison.
Sementara itu, CEO OpenAI, Sam Altman, menyebut bahawa teknologi AGI (Artificial General Intelligence) memerlukan sokongan besar seperti iini.
"Kami tidak akan dapat melaksanakannya tanpa sokongan anda, Tuan Presiden," kata Altman.
Pengumuman berkenaan juga menyusuli langkah Trump menarik balik perintah eksekutif bekas Presiden Joe Biden yang bertujuan mengurangkan risiko AI terhadap keselamatan negara dan pengguna.
Pelaburan itu dijangka memberi impak besar kepada keperluan tenaga di AS, dengan lonjakan permintaan pusat data AI dan elektrifikasi infrastruktur lain.
Saham Oracle melonjak tujuh peratus selepas laporan awal projek ini, bersama kenaikan saham syarikat seperti Nvidia dan Arm Holdings.
Pelaburan dalam AI terus meningkat sejak pelancaran ChatGPT pada 2022.- REUTERS