fb fb fb fb fb

Proses damai di Asia Barat perlu membuka jalan kepada negara Palestin - PM UK

Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer / Foto AFP

LONDON, 22 Januari – Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer memberitahu pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa bahawa sebarang proses damai di Asia Barat harus membuka jalan kepada pembentukan sebuah negara Palestin.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbualan yang memberi tumpuan kepada gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, menurut jurucakap kerajaan UK.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa usaha perlu dilakukan untuk mencapai penyelesaian kekal dan aman yang menjamin keselamatan serta kestabilan Israel.

"Perdana Menteri menambah bahawa UK bersedia melakukan segala yang termampu untuk menyokong proses politik, yang juga seharusnya membawa kepada pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan berdaulat," menurut kenyataan rasmi.

Starmer turut menekankan kepentingan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa gangguan ke Gaza, bagi menyokong rakyat Palestin yang sangat memerlukannya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan peribadinya atas usaha kerajaan Israel untuk membebaskan tebusan, termasuk Emily Damari, seorang tebusan warga Britain.

“Melihat gambar Emily akhirnya kembali ke pelukan keluarganya adalah momen yang sangat bermakna tetapi juga mengingatkan kita akan kos kemanusiaan akibat konflik ini,” kata Starmer.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas untuk menamatkan perang selama 15 bulan di Gaza telah berkuat kuasa pada Ahad.

Fasa pertama daripada perjanjian tiga fasa itu dijangka berlangsung selama enam minggu dan akan menyaksikan 33 tebusan dibebaskan dari Gaza sebagai pertukaran untuk kira-kira 1,900 tahanan Palestin.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN