fb fb fb fb fb

Trump arah tambah polis, perketat penguatkuasaan di Washington D.C

FOTO HIASAN

WASHINGTON, 28 Mac- Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menandatangani satu perintah eksekutif pada Khamis bagi memenuhi tuntutannya untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di Washington D.C. serta mempercepat proses permohonan lesen senjata api tersembunyi bagi "warga yang mematuhi undang-undang".

Perintah itu membabitkan penubuhan satu pasukan khas yang akan mempertingkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa di ibu negara, mengetatkan tahanan pra perbicaraan terhadap suspek jenayah, serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengelak daripada membayar tambang sistem transit bawah tanah.

Menurut Jabatan Polis D.C., kadar jenayah ganas pada 2024 menurun sebanyak 35% berbanding tahun sebelumnya, manakala keseluruhan kadar jenayah menunjukkan penurunan 15%. Bagi 2025, kadar jenayah ganas sehingga bulan ini adalah 27% lebih rendah berbanding 2024, sementara keseluruhan kadar jenayah turun 9%.

Namun, laporan The Washington Post awal Mac lalu mendedahkan bahawa Washington D.C. telah mencatatkan 30 kes pembunuhan setakat tahun ini, meningkat 11% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan rasmi, White House menjelaskan bahawa matlamat Trump adalah untuk menjadikan Washington D.C. sebagai "kebanggaan setiap rakyat Amerika yang berhak ke atasnya".

Trump sebelum ini lantang mengkritik kewujudan penempatan gelandangan serta kadar jenayah di ibu negara. Perintah baharunya itu turut mengarahkan pelbagai agensi kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap tuntutannya, termasuk mempercepatkan proses pengusiran pendatang tanpa izin.

Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana beliau akan mempercepatkan kelulusan lesen senjata api tersembunyi. Berdasarkan peraturan semasa, individu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun serta mengikuti kursus latihan senjata api boleh memohon lesen itu, sama ada penduduk atau bukan penduduk.

Sementara itu, Datuk Bandar Washington D.C., Muriel Bowser, dalam wawancara bersama NPR baru-baru ini berkata beliau telah membersihkan banyak kawasan penempatan gelandangan. Namun, beliau mendakwa Trump mahu ibu negara "bebas sepenuhnya daripada gelandangan".

Bowser turut mengkritik langkah pentadbiran Trump yang mengarahkan pemberhentian pekerja di beberapa jabatan persekutuan yang berpusat di Washington.

"Bagaimana mahu menjadikan Washington D.C. kota tercantik di dunia? Anda tidak boleh mencantikkan sesebuah bandar dengan mengurangkan tenaga kerja. Anda tidak boleh mencantikkan bandar dengan membiarkan bangunan kosong. Tindakan kerajaan persekutuan sebenarnya menghalang keupayaan kami untuk terus melabur dalam pembangunan bandar ini," katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE