BRASILIA, 28 Mac- Peguam Negara Brazil, Paulo Gonet, memutuskan untuk tidak mendakwa bekas Presiden Jair Bolsonaro berhubung dakwaan penipuan dalam rekod vaksinasinya dan meminta Mahkamah Agung membatalkan kes tersebut, menurut satu dokumen pada Khamis.
Gonet menyatakan beliau tidak boleh mengenakan pertuduhan terhadap Bolsonaro semata-mata berdasarkan dakwaan daripada perjanjian pengakuan bersalah seorang bekas pembantu presiden. Katanya, bukti tambahan diperlukan bagi menyokong sebarang pertuduhan.
Wakil undang-undang Bolsonaro belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen, namun bekas presiden itu sebelum ini menafikan sebarang salah laku.
Keputusan itu dibuat sehari selepas panel Mahkamah Agung memutuskan untuk mendakwa Bolsonaro dalam kes lain, yang mendakwa beliau terbabit dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2022.
Pada tahun lalu, Polis Persekutuan Brazil telah secara rasmi menuduh Bolsonaro melakukan penipuan dalam rekod vaksinasi. Siasatan mendapati bekas pembantunya, Mauro Cid, memperoleh rekod vaksinasi COVID-19 secara penipuan bagi pihak Bolsonaro dan anak perempuannya, Laura, atas arahan bekas presiden itu.
Pihak polis mendakwa sijil vaksinasi palsu itu dikeluarkan bagi membolehkan Bolsonaro mendapatkan keistimewaan tertentu serta mengelak daripada peraturan kesihatan yang ditetapkan sepanjang tempoh pandemik.
Dalam keputusan pada Khamis, Gonet menegaskan bahawa tuduhan berkaitan penipuan rekod vaksin hanya bersandarkan kepada perjanjian pengakuan bersalah Cid.
Bagaimanapun, perjanjian itu juga merupakan sebahagian daripada pertuduhan cubaan rampasan kuasa terhadap Bolsonaro. Dalam kes tersebut, Gonet berkata beliau membuat keputusan untuk mendakwa Bolsonaro pada Februari lalu kerana wujud bukti lain yang menyokong dakwaan tersebut.
Peguam Negara Brazil itu masih belum membuat keputusan mengenai satu lagi siasatan polis ke atas Bolsonaro, yang melibatkan dakwaan penyelewengan barang kemas hadiah daripada kerajaan Arab Saudi.
Bolsonaro kini dilarang bertanding dalam mana-mana pilihan raya sehingga tahun 2030 oleh Mahkamah Pilihan Raya Tertinggi Brazil, susulan usahanya untuk menjejaskan kredibiliti sistem pemilihan negara itu.-REUTERS