KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memuji peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Beliau menyifatkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “seorang pemimpin yang sangat baik” dan “rakan penting” dalam usaha keamanan serantau.
Dalam sesi temu bual bersama wartawan di pesawat Air Force One, Trump berkata, Malaysia memainkan peranan besar dalam usaha damai itu.
“Salah satu sebab saya ke Malaysia ialah kerana mereka sangat banyak membantu dalam keseluruhan isu Thailand dan sebagainya.”
Trump turut menambah bahawa beliau secara peribadi memberitahu Datuk Seri Anwar bahawa lawatan rasmi ke Kuala Lumpur adalah tanda penghargaan terhadap sumbangan Malaysia dalam misi perdamaian berkenaan.
“Saya beritahu pemimpin Malaysia, yang merupakan seorang pemimpin yang sangat baik, saya berhutang satu lawatan kepadanya. Itu sebabnya kami singgah di Malaysia,” katanya.
Trump dijadualkan memulakan lawatan lima hari ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, menjadikannya perjalanan luar negara paling panjang sejak beliau kembali ke White House pada Januari lalu.
Lawatan beliau ke Malaysia dijangka tertumpu kepada kerjasama keselamatan serantau, perdagangan dan inisiatif keamanan Asia Tenggara.
Kuala Lumpur menjadi perhentian utama untuk beliau menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). -WHITE HOUSE