fb fb fb fb fb

Perjanjian damai Thailand-Kemboja diawalkan hari ini

Orang ramai memegang potret mendiang Bonda Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit, ketika berkumpul di hadapan Hospital Chulalongkorn, tempat baginda mangkat/AFP

WASHINGTON, 26 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dengan Kemboja sebaik sahaja beliau tiba di Malaysia hari ini.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul meminta majlis itu diadakan lebih awal susulan kemangkatan bekas Permaisuri Sirikit, pada usia 93 tahun.

Trump dalam hantaran di Truth Social menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Thailand dan memaklumkan majlis tersebut akan berlangsung sejurus ketibaannya.

“Duka cita saya ucapkan kepada rakyat Thailand atas pemergian Bonda Permaisuri. Bagi menyesuaikan jadual semua pihak untuk acara penting ini, majlis menandatangani perjanjian damai akan diadakan sejurus ketibaan,” tulisnya.

Anutin menangguhkan keberangkatannya ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur semalam, susulan kemangkatan Bonda Permaisuri.

Beliau tetap berhasrat untuk hadir bagi memeterai perjanjian damai dengan Kemboja.

Menurut kenyataan Istana, Bonda Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit ibu kepada Raja Vajiralongkorn dan isteri kepada raja yang memerintah paling lama dalam sejarah negara itu mangkat lewat Jumaat.

Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja tercetus pada Julai lalu sehingga mengakibatkan pertempuran, menyebabkan lebih 40 orang terbunuh dan kira-kira 300,000 penduduk terpaksa berpindah. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ