fb fb fb fb fb

Timor-Leste secara rasmi sertai ASEAN sebagai anggota ke-11

Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta (kiri) menyaksikan Perdana Menteri Xanana Gusmao (dua dari kanan) menerima dokumen pengesahan keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN daripada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) dan Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur/AFP

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Timor Leste secara rasmi menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11 pada hari ini, selepas 14 tahun berkempen untuk keanggotaan penuh.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan ASEAN tahun ini, menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai pelengkap kepada keluarga ASEAN, sekali gus meneguhkan semangat kebersamaan dan takdir serantau yang dikongsi bersama.

"Dalam komuniti ini, pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan mendapat sokongan kukuh dan berterusan,” kata Datuk Seri Anwar pada Sidang Kemuncak ASEAN di sini.

Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan daripada Indonesia pada tahun 2002, mula memohon menyertai ASEAN pada tahun 2011.

Presiden Jose Ramos-Horta telah lama memperjuangkan penyertaan itu.

Penandatanganan deklarasi keanggotaan pada sidang kemuncak di Kuala Lumpur dianggap antara pencapaian utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

Namun, Timor-Leste masih berdepan cabaran besar termasuk kadar kemiskinan, pengangguran dan kekurangan infrastruktur, selain bergantung kuat kepada hasil minyak.

ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 kini terdiri daripada 11 negara anggota, dengan Kemboja menjadi ahli terakhir menyertai pada 1999 sebelum Timor-Leste. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ